Sunday, July 3, 2011

SETENGAH TAHUN MENGAJAR TAHUN 1

Pejam celik pejam celik sudah 6 bulan berlalu, lama betul saya tidak update blog ni. Rasa rindu plak nak bercerita mengenai perkembangan tahun 1. Ada banyak perubahan yang berlaku sepanjang 6 bulan ini memandangkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah telah dilaksanakan sepenuhnya pada tahun ini dan PBS baru sahaja bermula pada akhir bulan April.

Untuk PBS, Standard prestasi telah wujud sebagai rujukan guru membuat pentaksiran yang berterusan dan selaras meliputi semua standard pembelajaran dalam subjek masing-masing. Untuk subjek Matematik pula, ianya tidak susah untuk diaplikasikan dan agak senang untuk faham terutama bagi guru Matematik tahun 1 yang semestinya mempunyai pengalaman dalam melaksanakannya.

Mujurlah sehingga sekarang, banyak kerja yang telah selesai dilaksanakan terutama fail 'showcase' murid dan fail perkembangan murid yang tersusun cantik di bilik KSSR sekolah saya. Jika diingat proses penyediaannya, hanya tuhan sahaja yang tahu begitu banyak masa dan tenaga yang digunakan untuk memastikan ianya siap sehingga pertengahan bulan Mei lalu memandangkan hari jalinan mesra telah diadakan sebelum cuti sekolah bermula .

Pelbagai status pelawat telah datang ke sekolah saya selepas cuti pertengahan tahun untuk memantau perkembangan KSSR yang telah berlaku di sekolah dan bagaimana PBS dilaksanakan di sekolah. Semuanya agak menganggu emosi guru-guru tahun 1 kerana berdebar-debar tentang maklumbalas yang akan diterima, tambahan pula kami tidak pernah mengetahui tentang perkembangan di sekolah lain. Jadi, agak sukar untuk meletakkan sekolah ini ditahap yang bagaimana dan sudah semestinya kami ingin membuat perubahan ke tahap yang lebih baik sekiranya perlu.

Pada waktu ini, usaha saya lebih tertumpu kepada penyediaan instrumen-instrumen pentaksiran yang telah dilabel kod-kod evidens daripada standard prestasi yang telah disediakan oleh LPM. Disamping itu, saya berharap tugas saya sebagai guru matapelajaran Matematik dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

Walaupun terdapat banyak halangan dan kekangan yang tidak dapat dielakkan, saya sentiasa berdoa supaya tugas yang saya laksanakan akan memberi impak positif dan maksimum kepada anak didik saya. Kerana mereka adalah lebih penting dalam memastikan kejayaan KSSR dan hasrat kerajaan direalisasikan.

No comments:

Post a Comment